Kontroversi Terbesar 01 - Ramalan Nasib Dunia

 

Kalaulah kiranya pada hari ini engkau mengetahui perkara-perkara yang dapat membawa sejahtera kepadamu! Tetapi sekarang semuanya dirahsiakan daripadamu. Masanya akan datang apabila musuh-musuhmu akan mengelilingimu dengan sekatan, mengepung dan mengasakmu dari semua arah. Mereka akan membinasakanmu dan semua pendudukmu. Mereka tidak akan meninggalkan seketul pun batu tersusun kerana kamu tidak tahu masanya Allah datang kepadamu." Lukas 19:42-44.

Dari puncak Bukit Zaitun, Yesus memandang kota Yerusalem. Pemandangan yang indah dan penuh kedamaian terbentang luas di hadapan-Nya. Waktu itu adalah musim Paskah, dan anak-anak keturunan Yakub dari seluruh negeri berkumpul di sana untuk merayakan hari perayaan nasional yang agung itu. Di tengah-tengah taman-taman dan kebun-kebun anggur, serta di cerun-cerun hijau di mana bertatahnya khemah-khemah para musafir, berdirilah bukit-bukit yang berteres, istana-istana negeri dan benteng-benteng pertahanan yang besar di ibu kota Israel. Ia bagaikan puteri Sion dalam kemegahannya berkata, "Aku duduk di atas takhta sebagai permaisuri dan tidak akan menghadapi kesukaran," indah seperti dahulu dan menganggap dirinya terjamin di bawah kenikmatan Syurga, seperti pada abad-abad yang sebelumnya, penyanyi kerabat diraja menyanyi, "Indah dalam ketinggiannya, kegembiraan seluruh bumi. Bukit Sion ... kota Raja yang Agung." Mazmur 48:2.

Air mata-Nya itu bukan untuk diri-Nya, meskipun Dia tahu sekali ke mana kaki-Nya sedang melangkah. Di hadapan-Nya terbentang Getsemani, pemandangan bagi penderitaan yang sedang menghampiri-Nya. Pintu gerbang domba juga kelihatan, yang mana selama berabad-abad di sinilah korban-korban persembahan dibawa, dan yang mana juga akan terbuka untuk-Nya apabila Dia, "seperti anak domba yang dibawa untuk disembelih." Yesaya 53:7. Tidak jauh dari sana adalah Kalvari, tempat penyaliban. Pada jalan inilah, yang tidak lama lagi akan dilalui oleh Kristus, harus dipenuhi oleh kegelapan besar yang mengerikan, sementara Dia menjadikan jiwa-Nya sebagai satu korban untuk dosa. Namun, bukan fikiran mengenai gambaran-gambaran ini yang membuatkan diri-Nya dipenuhi dengan penderitaan pada waktu yang mengembirakan ini. Tidak ada tanda-tanda penderitaan bagi diri-Nya sebagai manusia luar biasa yang menyelubungi jiwa yang tidak mementingkan diri itu. Dia menangis kerana kebinasaan ribuan penduduk Yerusalem -- disebabkan oleh kebutaan dan ketidaktaubatan mereka namun demi rerekalah Yesus datang untuk memberkati dan menyelamatkan.

Sejarah mengenai nikmat pertolongan istimewa dan penjagaan Tuhan selama lebih daripada seribu tahun, yang dinyatakan kepada umat pilihan-Nya, dipaparkan di depan mata Yesus. Di sanalah Gunung Moria, di mana anak perjanjian Ishak, satu korban yang tidak meronta-ronta, yang telah diikat pada mezbah -- lambang bagi persembahan yang dilakukan oleh Anak Tuhan. Di sanalah persetujuan berkat, janji Mesias yang mulia itu, telah disahkan kepada bapa bagi orang-orang percaya. Kejadian 22:9, 16-18. Di sanalah nyala api korban bakaran dari tempat pengirikan Ornan naik ke syurga, mengelakkan pedang malaikat pemusnah (1 Tawarikh 21) -- sesuai dengan simbol pengorbanan dan penghantaran Juruselamat bagi orang-orang berdosa. Yerusalem telah dimuliakan oleh Tuhan di seluruh bumi. Tuhan telah "memilih Sion" dan "menghendakinya sebagai tempat kediaman-Nya." Mazmur 132:13. Di sanalah, selama berabad-abad, nabi-nabi kudus telah mengucapkan perkhabaran-perkhabaran amaran mereka. Di sanalah, imam-imam melambaikan pedupaan mereka, dan asap-asap kemenyan, bersama-sama dengan doa orang-orang yang berbakti, naik ke hadirat Tuhan. Di sanalah, setiap hari darah daripada domba yang disembelih akan dipersembahkan, yang mana merujuk kepada Anak Domba Tuhan yang akan datang. Di sanalah Tuhan telah memperlihatkan kehadiran-Nya dalam awan kemuliaan di atas tutup pendamaian. Di sanalah berdirinya tangga ajaib yang menghubungkan dunia dengan syurga (Kejadian 28:12; Yohanes 1:51) -- tangga yang mana tempat malaikat-malaikat Tuhan turun dan naik, dan yang telah terbuka kepada dunia satu jalan menuju ke tempat yang maha kudus. Jika Israel sebagai satu bangsa memelihara kesetiaannya kepada Syurga, Yerusalem tentu akan berdiri selama-lamanya sebagai kota pilihan Tuhan. Yeremia 17:21-25. Tetapi sejarah mengenai umat pilihan itu hanyalah satu catatan mengenai kemurtadan dan pemberontakan. Mereka telah menolak rahmat Syurga, menyalahgunakan hak keistimewaan mereka, dan meremehkan peluang-peluang mereka.

Walaupun Israel telah "mengolok-olokkan utusan-utusan Allah itu, meremehkan firman-Nya, dan mengejek nabi-nabi-Nya" (2 Tawarikh 36:16), Dia masih menyatakan diri-Nya kepada mereka sebagai "Allah penyayang dan pengasih, panjang sabar, serta berlimpah kasih dan setia." (Keluaran 34:6); meskipun ditolak berkali-kali, kemurahan-Nya terus-menerus mengundang. Dengan kasih yang lebih daripada belas kasihan seorang ayah kepada anak jagaannya, Tuhan telah "terus-menerus mengirim pesan kepada mereka dengan perantaraan utusan-utusan-Nya, kerana Dia sayang kepada umat-Nya dan kepada tempat kediaman-Nya." 2 Tawarikh 36:15. Apabila bantahan, rayuan, dan teguran telah gagal, Dia mengirimkan pemberian syurga yang terbaik kepada mereka; lebih daripada itu, Dia mencurahkan seluruh syurga kedalam Anugerah yang satu itu.

Anak Tuhan sendiri telah dikirimkan untuk mengundang kota yang tidak bertaubat itu. Kristuslah yang telah membawa bangsa Israel keluar dari Mesir sebagai sebuah pokok anggur yang baik, Mazmur 80:8. Tangan-Nya sendirilah yang telah menumpaskan orang kafir di hadapan mereka. Dia telah menanamnya di "bukit yang subur." Penjaga-Nya telah memagarinya. Hamba-hamba-Nya telah dihantar untuk memeliharanya. "Apa lagi yang dapat dilakukan untuk kebun anggur-Ku," Dia berseru, "yang belum Kulakukan terhadapnya?" Yesaya 5:1-4. Meskipun Dia menantikan supaya ia menghasilkan buah anggur yang baik, tetapi ia menghasilkan buah anggur yang asam, namun, dengan satu rindu mengharapkan buah yang baik Dia sendiri datang ke kebun anggur-Nya itu; Dia mencantasnya dan memeliharanya. Dia bersungguh-sungguh dalam usaha-usaha-Nya untuk menyelamatkan pokok anggur yang Dia tanam sendiri itu.

Selama tiga tahun, Tuhan yang terang dan mulia itu telah keluar dan masuk dalam kalangan umat-Nya. Dia "pergi ke merata-rata membuat kebajikan dan menyembuhkan orang yang diseksa oleh Iblis", menyembuhkan orang-orang yang patah hati, membebaskan orang-orang tawanan, memulihkan penglihatan orang buta, membuatkan orang lumpuh berjalan dan orang tuli mendengar, menyembuhkan orang kusta, membangkitkan orang mati, memberitakan injil kepada orang miskin. Kisah Para Rasul 10:38; Lukas 4:18; Matius 11:5. Panggilan yang penuh kasih ini ditujukan kepada semua golongan masyarakat, "Marilah ke sisi-Ku, wahai semua yang jerih lelah dan memikul beban berat; Aku akan memberimu kelegaan." Matius 11:28.

Walaupun kebaikan dibalas dengan kejahatan, dan kasih-Nya dengan kebencian (Mazmur 109:5), Dia tetap melaksanakan misi kemurahan-Nya. Orang yang menolak-Nya tidak pernah mencari rahmat-Nya. Sebagai seorang pengembara yang tidak berumah, yang hari-hari-Nya penuh dengan celaan dan kekurangan, Dia hidup untuk melayani keperluan-keperluan orang ramai dan meringankan penderitaan-penderitaan mereka, untuk mengundang mereka agar menerima kurnia hidup. Ombak kemurahan, yang ditentang oleh hati yang degil, kembali dengan satu air pasang kasih yang lebih kuat, yang penuh simpati dan tak dapat diungkapkan. Tetapi orang Israel telah meninggalkan Sahabatnya yang terbaik dan satu-satunya Penolong. Rayuan kasih-Nya telah dihina, nasihat-Nya ditolah, dan amaran-Nya dipersendakan.

Saat pangharapan dan pengampunan berlalu dengan cepat; cawan murka Tuhan yang telah lama ditunda hampir penuh. Awan yang telah dikumpul selama kemurtadan dan pemberontakan yang berabad-abad, sekarang menghitam dengan penderitaan, akan meletus ke atas orang-orang berdosa; dan Dia, satu-satunya yang boleh menyelamatkan mereka daripada takdir mereka yang hampir tiba, telah dihina, didera, ditolak, dan akan disalibkan. Apabila Kristus digantung pada kayu salib Kalvari, maka berakhirlah hari-hari Israel sebagai bangsa yang dipilih dan diberkati Tuhan. Kehilangan walaupun satu jiwa sahaja adalah satu malapetaka yang sesungguhnya melebihi keuntungan dan harta dunia; tetapi sementara Kristus memandang pada Yerusalem, kebinasaan seluruh kota itu, seluruh bangsa itu, berada di hadapan-Nya -- kota itu, bangsa itu, yang pada satu ketika dulu adalah pilihan Tuhan, harta istimewa-Nya.

Para nabi telah menangisi kemurtadan bangsa Israel dan kehancuran yang dahsyat kesan daripada dosa-dosa mereka. Yeremia berharap agar matanya menjadi satu pancutan air tangisan, supaya dia boleh menangis siang dan malam untuk anak-anak perempuan bangsanya yang terbunuh, disebabkan kawanan domba Tuhan telah diambil sebagai tawanan. Yermia 9:1; 13:17. Lalu, apakah yang mendukakan Dia, yang pandangan nubuat-Nya terdiri daripada, bukan bertahun-tahun, tetapi berabad-abad lamanya! Dia memandang malaikat pembinasa itu menacukan pedangnya terhadap kota yang telah sekian lama menjadi tempat tinggal Tuhan. Dari puncak Bukit Zaitun, tempat yang sama yang kemudiannya didiami oleh Titus dan tenteranya, Dia memandang menerusi lembah ke atas tempat-tempat pengadilan suci dan serambi-serambi anjung, dan dengan berlinangan air mata Dia melihat, dangan pandangan yang tidak menyenangkan sekali, dinding-dinding Yerusalem yang dikelilingi oleh orang-orang asing. Dia terdengar ha\entakan kaki para tentera bersedia untuk berperang. Dia terdengar suara tangisan para ibu dan anak yang meminta makan di dalam kota yang telah dikepung itu. DIa melihat rumah yang indah dan suci, istana-istana dan menara-menara Israel, terbakar ditelan api, dan yang dahulunya di mana ia berdiri, hanyalah tinggal satu timbunan runtuhan yang membara.

Memandang pada berabad-abad seterusnya, Dia melihat umat perjanjian itu bertempiaran di seluruh negeri, "seperti kapal yang ranap di pantai padang pasir." Dalam hukuman duniawi yang akan menimpa ke atas anak-anaknya, Dia melihat tegukan pertama dari cawan murka Tuhan, yang pada penghakiman terakhir ia harus menghabiskan seluruh isi cawan murka Tuhan itu. Di dalam simpati ilahi, kerinduan kasih-Nya, terdapat ucapan dengan kata-kata tangisan ini, "Yerusalem, Yerusalem! Kamu membunuh nabi dan merejam utusan Allah! Sudah berapa kali Aku ingin mengumpul anak-anakmu seperti seekor ibu ayam mengumpul anak-anaknya di bawah sayapnya, tetapi kamu tidak mahu." Hai engkau, satu bangsa yang ditinggikan berbanding bangsa-bangsa lain, telah mengetahui saat hukuman dari Tuhan dan hal-hal yang berkaitan dengan kedamaianmu! Aku telah menahan malaikat keadilan, Aku telah memanggil engkau untuk bertaubat, tetapi sia-sia sahaja. Buka para hamba, para utusan, dan para nabi semata-semata yang telah engkau enggan dan tolak, bahkan Israel Yang Kudus, Penebusmu. Jika engkau dibinasakan, itu adalah tanggungjawabmu sendiri. "Tetapi kamu tidak mahu datang kepada-Ku untuk mendapatkan hidup kekal." Matius 23:37; Yohanes 5:40.

Kristus melihat di Yerusalem satu simbol mengenai dunia yang mengeraskan hati di dalam ketidakpercayaan dan pemberontakan, dan yang menyegerakan untuk berhadapan dengan penghakiman pembalasan Tuhan. Penderitaan-penderitaan satu bangsa yang telah jatuh itu menekan jiwa-Nya, memaksa keluar tangisan penuh kepahitan itu dari bibir-Nya. Dia melihat catatan dosa yang boleh dikesan dalam kesengsaraan, air mata, dan darah manusia; hati-Nya tergerak dengan simpati yang tidak terhingga kepada manusia yang kesakitan dan menderita di dunia ini; Dia rindu untuk membebaskan mereka daripada semua kesakitan dan penderitaan. Tetapi tangan-Nya sendiri bahkan tidak dapat mengelakkan air pasang penderitaan manusia itu, kerana sedikit sahaja yang akan mencari satu-satunya Sumber pertolongan mereka. Dia rela untuk menyerahkan jiwa-Nya kepad kematian, untuk membawa keselamatan ke dalam jangkauan mereka, tetapi sedikit sahaja yang akan datang kepada Dia agar mereka memperoleh hidup.

Maharaja syurga mencucurkan air mata! Anak Tuhan yang tidak terbatas itu menderita di dalam jiwa, tertunduk dengan keperitan! Suasana itu memenuhi seluruh syurga dengan kekaguman. Suasana itu menyatakan kepada kita kedalaman sifat berdosa mengenai dosa; ia menunjukkan betapa sukarnya tugas itu, bahkan kepada Kuasa yang Tidak Terbatas sekalipun, untuk menyelamatkan orang-orang bersalah akibat daripada pelanggaran hukum Tuhan. Yesus, memandang kepada generasi terakhir manusia, melihat dunia ini terlibat dalam satu penipuan yang serupa dengan penipuan yang menyebabkan kebinasaan Yerusalem. Dosa besar orang-orang Yahudi adalah penolakan mereka mengenai Kristus; dosa besar dunia Kristian adalah penolakan mereka mengenai hukum Tuhan, asas pemerintahan-Nya di syurga dan dunia. Ajaran-ajaran Tuhan akan dipandang rendah dan ditiadakan. Berjuta-juta orang terikat kepada dosa, hamba kepada Syaitan, ditakdirkan untuk menderita kematian yang kedua, akan menolak untuk mendengarkan kebenaran-kebenaran pada hari penghakiman mereka. Kebutaan yang dahsyat! Keghairahan yang ganjil!

Dua hari sebelum hari Paskah, apabila kristus pada kali terakhir meninggalkan bait suci, setalah mengecam kemunafikan pemimpin-pemimpin Yahudi, Dia sekali lagi pergi ke Bukit Zaitun dengan murid-murid-Nya dan duduk bersama-sama mereka di kaki bukit yang berumput menghadap ke kota Yerusalem. Sekali lagi Dia merenung dinding-dindingnya, menara-menaranya, dan istana-istananya. Sekali lagi Dia menatap bait suci dalam kemegahannya yang mempesonakan, satu kedaulatan mengeai keindahan yang memahkotai bukit yang suci itu.

Seribu tahun sebelumnya, pemazmur telah memperbesarkan ilihan Tuhan ke atas Israel dengan mendirikan bangunan kudus itu sebagai tempat tinggal-Nya, "Di Salem juga terletak khemah-Nya, dan tempat kediaman-Nya di Sion." Tetapi Dia "memilih suku Yehuda, Bukit Sion yang dicintai-Nya. Dan Dia membina tempat suci-Nya seperti di syurga." Mazmur 76:2; 78:68, 69. Bait suci yang pertama telah didirikan pada zaman yang paling makmur dalam sejarah bangsa Israel. Raja Daud telah mengumpulkan harta yang sangat banyak untuk tujuan ini, dan rancangan-rancangan untuk pembangunannya telah dibuat oleh ilham ilahi. 1 Tawarikh 28:12,19. Salomo, raja Israel yang paling bijaksana, telah menyelesaikan pembangunan bait suci itu. Bait suci ini adalah bangunan paling tersergam indah yang pernah dilihat oleh dunia ini. Namun Tuhan telah menyatakan melalui nabi Hagai, mengenai bait suci yang kedua, "Adapun bagi Bait ini, kemegahannya yang kemudian akan melebihi kemegahan terdahulunya." "Aku akan menggoncangkan segala bangsa, sehingga akan datan mengalir keinginan segala bangsa, maka akan Kupenuhi Bait ini dengan kemegahan, firman Tuhan alam semesta." Hagai 2:9, 7.

Setelah pembinasaan bait suci oleh Raja Nebukadnezar, ia telah dibina semula kira-kira lima ratus tahun sebelum Kristus lahir oleh orang-orang yang daripada penawanan sepanjang hidup mererka, kembali ke negeri yang telah ditinggalkan dan hampir menjadi terbiar. Lalu, ada di antara mererka ialah orang-orang berumur, yang telah melihat kemuliaan bait suci Salomo, dan yang menangis pada asas bangunan baru itu, kerana kualitinya lebih rendah daripada yang sebelumnya Perasaan yang wujud di dalam diri mereka diterangkan oleh nabi dengan penuh keyakinan, "Adakah antara kamu yang pernah melihat Bait ini dalam kemegahannya yang terdahulu? Pada pandangan kamu, bagaimanakah keadaannya sekarang? Bukankah di matamu, keadaannya sekarang langsung tidak bererti sebagaimana keadaan terdahulunya?" Hagai 2:4; Ezraa 3:12. Lalu diberikanlah janji bahwa kemuliaan bangunan yang kemudian ini akan lebih besar daripada yang sebelumnya.

Tetapi keindahan dan kemegahan bait suci yang kedua adalah tidak sama dengan yang pertama; mahupun dikuduskan oleh kehadiran ilahi melalui tanda yang dapat dilihat seperti yang ada pada bait suci yang pertama. Tidak ada manifestasi kuasa yang luar biasa untuk menandai pengabdiannya. Tidak kelihatan awan kemuliaan memenuhi bait suci yang baru didirikan itu. Tidak ada api yang turun dari syurga untuk membakar korban di atas mezbahnya. Shekinah tidak lagi berada di antara kerub dalam tempat maha kudus; tabut perjanjian, tutup pendamaian, dan kedua loh hukum Tuhan tidak lagi ditemukan di sana. Tidak ada suara datang dari syruga untuk menjawab pertanyaan para imam mengenai kehendak Tuhan.

Selama berabad-abad, orang-orang Yahudi telah berusaha dengan sia-sia menunjukkan janji Tuhan yang diberikan oleh Hagai telah digenapi; namun, kesombongan dan ketidakpercayaan telah membuatkan fikiran mereka daripada maksud yang sebenarnya mengenai kata-kata nabi itu. Bait suci yang kedua tidak dimuliakan dengan kemuliaan Tuhan, tetapi dengan kehadiran yang hidup daripada Dia yang di dalam-Nya tinggal Keilahian yang penuh secara tubuh -- yang adalah Tuhan sendiri yang diperlihatkan di dalam daging. "Kerinduan segala bangsa" sememangnya telah datang ke bait suci-Nya apabila Orang dari Nazaret itu mengajar dan menyembuhkan orang-orang di tempat-tempat pengadilan suci itu. Dalam kehadiran Kristus, dan hanya dalam hal inilah, kemuliaan bait suci yang kedua melebihi yang pertama. Tetapi bangsa Israel menjauhkan bait suci itu dari tawaran Kurnia syurga. Setelah Guru yang rendah hati tersebut meninggalkan pintu gerbang keemasan bait suci pada hari itu, maka kemuliaan Tuhan telah meninggalkan bait suci itu untuk selama-lamanya. Digenapi sudah perkataan Juruselamat, "Rumahmu akan ditinggalkan dan terbiar." Matius 23:38.

Murid-murid-Nya dienuhi dengan perasaan kagum dan tertanya-tanya dengan ramalan Kristus mengenai kejatuhan bait suci, dan mereka berhasrat untuk memahami lebih mendalam maksud perkataan-Nya itu. Kekayaan, kerja keras, dn kemahiran seni bina telah digunakan sebaik mungkin selama empat puluh tahun untuk mempertingkatkan keindahan dan kemegahan bait suci itu. Herod yang agung telah membelanjakan kekayaan Rom dan harta Yahudi ke atas bangunan itu, dan bahkan pemerintahan dunia telah memperkayakannya dengan pemberian-pemberiannya. Blok-blok besar batu marmar putih, dengan saiz yang hampir menakjubkan, dikirimkan dari Roma untuk tujuan ini, membentuk sebahagian daripada strukturnya. Dan mengenai hal ini murid-murid telah menarik perhatian Guru mererka dengan berkata, "Guru, lihatlah batu dan bangunan yang luar biasa di sini!" Markus 13:1.

Untuk kata-kata ini, Yesus memberi jawapan yang khusyuk dan memeranjatkan, "Aku berkata kepadamu, tiada seketul pun batunya akan tinggal tersusun; semuanya akan dirobohkan." Matius 24:2.

Dengan jatuhnya Yerusalem, murid-murid mengaitkan peristiwa kedatangan Kristus secara peribadi dalam kemuliaan duniawi untuk mengambil alih takhta kerajaan dunia, untuk menghukum orang-orang Yahudi yang tidak bertaubat, dan untuk membebaskan bangsa itu daripada belenggu penjajahan Rom. Tuhan telah memberitahu kepada mereka bahwa Dia akan datang untuk kali kedua. Oleh itu, apabila disebutkan mengenai penghakiman ke atas Yerusalem, fikiran mereka teringat akan kedatangan itu; dan apabila mereka berkumpul mengelilingi Juruselamat di atas Bukit Zaitun, mereka bertanya, "Katakanlah kepada kami, bilakah hal-hal itu akan terjadi? Apakah tanda-tanda kedatangan-Mu dan akhir zaman?" Ayat 3.

Masa depan telah disembunyikan dengan penuh belas kasih dari murid-murid. Sekiranya mereka pada waktu itu memahami sepenuhnya kedua-dua fakta yang mengerikan itu -- penderitaan dan kematian Penebus, dan kemushahan kota dan bait suci mereka -- maka mereka akan diselubungi oleh kengerian yang amat sangat. Kristus memperlihatkan di hadapan mereka satu ringkasan mengenai peristiwa-peristiwa ketara yang akan terjadi sebelum akhir zaman. Perkataan-Nya tidak sepenuhnya difahami, tetapi maksudnya akan dibukakan apabila umat-Nya memerlukan petunjuk mengenai hal-hal yang telah diberikan. Nubuat yang diungkapkan-Nya mempunyai dua maksud: sementara ia membayangkan kemusnahan Yerusalem, ia juga menggambarkan kegentaran mengenai zaman akhir yang penting itu.

Yesus memberitahukan kepada murid-murid-Nya yang sedang mendengar mengenai penghakiman yang akan berlaku ke atas bangsa Israel yang murtad, dan terutamanya hukuman pembalasan yang akan terjadi ke atas mereka kerana penolakan mereka dan penyaliban Mesias. Tanda-tanda yang tidak dapat disangkal akan mendahului kemuncak yang mengerikan itu. Saat yang ditakutkan itu akan datang secara tiba-tiba dan segera. Dan Juruselamat memberikan amaran kepada para pengikut-Nya, "Oleh itu, apabila kamu melihat 'kekejian yang membawa kebinasaan' yang disebut oleh nabi Daniel di tempat suci (biarlah para pembaca memperhatikan ertinya), ketika itu orang yang di Yudea mesti lari ke pergunungan." Matius 24:15, 16; Lukas 21:20, 21. Apabila bendera-bendera berhala orang Roma dinaikkan di atas tanah suci, yang mana dipanjangkan beberapa ratus meter sehingga ke dinding-dinding kota, maka pengikut-pengikut Kristus akan mendapatkan keselamatan dengan melarikan diri. Apabila tanda amaran telah kelihatan, mereka yang melarikan diri haruslah tidak bertangguh. Mereka yang tinggal di seluruh tanah Yudea, termasuklah yang tinggal di Yerusalem, amaran untuk melarikan diri itu haruslah segera dipatuhi. Orang yang berkesempatan untuk berada di atas atap rumah tidak boleh turun untuk masuk ke dalam rumahnya, bahkan untuk menyelamatkan hartanya yang paling berharga. Mereka yang bekerja di ladang atau di kebun anggur haruslah tidak membuang masa untuk menukar pakaian luaran yang mereka pakai untuk bekerja keras di bawah panas terik pada hari itu. Mereka haruslah tidak ragu-ragu walaupun sesaat, jika tidak mereka akan terlibat dalam kebinasaan umum itu.

Semasa pemerintahan Herod, Yerusalem bukan sahaja telah banyak diperindahkan, tetapi dengan terdirinya menara-menara, dinding-dinding, dan kubu-kubu, ditambah lagi dengan kekuatan semula jadi pada tempatnya, membuatkan ia kelihatan seolah-olah tidak dapat dikalahkan. Orang yang meramalkan secara umum mengenai kemushahannya pada masa ini, akan digelar sebagai seorang penggera gila, seperti Nuh pada zamannya. Tetapi Kristus telah berkata, "Langit dan bumi akan lenyap, tetapi kata-kata-Ku tidak akan lenyap." Matius 24:35. Disebabkan oleh dosa-dosanya, kemurkaan telah diisytiharkan ke atas Yerusalem, dan ketidakpercayaannya yang degil telah membuatkan kebinasaannya pasti.

Tuhan telah menyatkan melalui nabi Mikha, "Dengarlah hal ini, wahai para ketua keturunan kaum Yakub dan para pemimpin keturunan kaum Israel, yang memandang keji keadilan dan yang membengkokkan segala yang lurus. Kamu membina Sion dengan penumpahan darah dan Yerusalem dengan kezaliman. Para ketuanya memutuskan hukum demi rasuah, para imamnya mengajar demi bayaran, dan para nabinya menenung demi wang. Tetapi mereka juga bersandar kepada Tuhan dan berkata, 'Bukankah Tuhan ada di tengah-tengah kita? Tidak ada malapetaka yang akan menimpa kita.'" Mikha 3:9-11.

Kata-kata ini dengan nyata menerangkan ketidakjujuran dan sikap rasa benar akan diri sendiri penduduk Yerusalem. Sementara mereka mendakwa untuk melakukan perintah hukum Tuhan dengan ketat, mereka sedang melanggar semua prinsip hukum itu. Mereka membenci Kristus kerana kesucian dan kekudusan-Nya mendedahkan kekejian mereka; dan mereka menuduh-Nya sebagai penyebab semua kesukaran yang menimpa mereka akibat daripada dosa-dosa mereka. Walaupun mereka tahu Dia adalah seorang yang tidak berdosa, namun mereka telah menyatakan bahwa kematian-Nya adalah penting untuk keselamatan mereka sebagai satu bangsa. Kata pemimpin Yahudi, "Jika kita biarkan Dia terus melakukannya, semua orang akan percaya kepada-Nya. Nanti ornag Rom akan datang memusnahkan kedudukan dan bangsa kita!" Yohanes 11:48. Jikalau Kristus dikorbankan, maka mereka akan kembali lagi menjadi satu umat yang kuat dan bersatu. Oleh itu, mereka berbincang, dan mereka bersetuju dengan keputusan imam besar mereka, bahwa ia adalah lebih baik agar seorang manusia mati daripada seluruh bangsa itu binasa.

Oleh itu pemimpin-pemimpin Yahudi telah membina "Sion dengan penumpahan darah dan Yerusalem dengan kezaliman." Mikha 3:10. Dan, sementara mereka membunuh Juruselamat mereka kerana Dia menegur dosa-dosa mereka, begitulah mereka merasakan benar akan diri sendir sehingga mereka menganggap diri mereka sebagai umat pilihan Tuhan, dan mengharapkan Tuhan untuk menyelamatkan mereka daripada musuh-musuh mereka. Nabi itu meneruskan, "Jadi, kerana kamulah Sion akan dibajak seperti ladang, Yerusalem akan menjadi timbunan puing, dan gunung tempat Bait Suci akan menjadi bukit berhutan." Ayat 12.

Hampir selama 40 tahun selepas kebinasaan Yerusalem telah diumumkan oleh Kristus sendiri, bahawa Tuhan menungguh penghakiman-Nya ke atas kota dan bangsa itu. Sungguh menakjubkan panjang sabar Tuhan terhadap para penolak injil-Nya dan para pembunuh Anak-Nya. Perumpamaan tentang pohon ara yang tidak berbuah itu melambangkan pengendalian Tuhan terhadap bangsa Yahudi. Perintah telah dikeluarkan. "Tebangkanlah pokok ini! Apa gunanya terus menghabiskan kesuburan tanah?" (Lukas 13:7) tetapi belas kasihan ilahi telah memberikannya lebih masa lagi. Masih ramai orang Yahudi yang jahil akan sifat perwatakan dan pekerjaan Kristus. Dan anak-anak masih belum menikmati peluang-peluang atau menerima terang yang ditolak oleh ibu bapa mereka. Melalui pemberitaan rasul-rasul dan rakan-rakan mereka, Tuhan akan membuatkan terang itu bersinar ke atas mereka;mereka akan diizinkan untuk melihat bagaimana nubuat telah digenapi, bukan sahaja pada kelahiran dan kehidupan Kristus, tetapi juga pada kematian dan kebangkitan-Nya. Anak tidak akan dihukum atas dosa-dosa ibu bapa mereka; tetapi, apabila mempunyai pengetahuan mengenai semua terang yang telah diberikan kepada ibu bapa mereka, dan anak-anak itu menolak terang tambahan yang diberikan kepada mereka, maka mereka akan mengambil bahagian dalam dosa-dosa ibu bapa mereka, dan memenuhi ukuran dalam kekejian mereka.

Panjang sabar Tuhan terhadap Yerusalem hanya membuatkan orang-orang Yahudi tetap degil atas ketidaktaubatan mereka. Dalam kebencian dan kekejaman mereka terhadap murid-murid Yesus, mereka menolak tawaran terakhir mengenai kasih kurnia itu. Lalu Tuhan menarik perlindungan-Nya daripada mereka dan kuasa penghalang-Nya daripada Syaitan dan malaikat-malaikatnya, dan bangsa itu dibiarkan untuk dikendalikan oleh pemimpin yang dipilihnya sendiri. Anak-anaknya telah menolak rahmat Kristus, yang mana ia membolehkan mereka untuk menundukkan keinginan-keinginan jahat mereka, namun sekarang inilah yang menakluki mereka. Syaitan telah membangkitkan kebengisan dan keghairahan yang paling hina di dalam jiwa mereka. Manusia tidak lagi menggunakan akal fikiran; mereka telah jauh dari akal fikiran -- dikuasai oleh hawa nafsu dan keinginan hati yang buta. Mereka bersifat syaitan dalam kejahatan mereka. Di dalam keluarga dan di dalam negara, baik daripada golongan atas man\hupun daripada golongan bawah, terdapat kecurigaan, kecemburuan kebencian, persengketaan, pemberontakan, dan pembunuhan. Tidak ada keselamatan di mana-mana. Sahabat-sahabat dan sanak saudara saling mengkhianati antara satu sama lain. Ibu bapa membunuh anak-anak mereka, dan anak-anak membunuh ibu bapa mereka. Para pemerintah bangsa itu tidak berkuasa untuk memerintah diri mereka sendiri. Nafsu-nafsu yang tidak terkawal membuatkan mereka zalim. Orang-orang Yahudi telah menerima kesaksian palsu untuk menghukum Anak Thuan yang tidak bersalah. Sekarang tuduhan-tuduhan palsu membuatkan hidup mereka berada dalam ketidakpastian. Melalui tindakan-tindakan mereka, mereka telah lama berkata, "Biarlah Yang Maha Suci, Allah Israel itu, menyingkir meninggalkan kami!" Yesaya 30:11. Sekarang keingiinan mereka telah dipenuhi. Takut akan Tuhan tidak lagi mengganggu mereka. Syaitan menjadi pemimpin bagi bangsa itu, dan kakitangan tertinggi serta pihak berkuasa keagamaan sudah berada di bawah pengaruhnya.

Para pemimpin puak-puak penentang pada waktu itu bersatu untuk merompak dan menyeksa mangsa-mangsa mereka yang malang, dan sekali lagi mereka saling jatuh ke dalam kumpulan satu sama lain dan saling membantai tanpa belas kasihan. Bahkan kesucian bait suci itu tidak mampu menahan keganasan mereka yang dahsyat. Orang-orang yang berbakti diserang di hadapan mezbah, dan bait suci itu dikoroti dengan mayat yang telah dibunuh. Namun pada andaian mereka yang buta dan penuh dengan hujahan itu, para penghasut bagi pekerjaan durjana ini secara terbuka menyatakan bahwa mereka tidak takut apabila Yerusalem dimusnahkan, kerana ia adalah kota Tuhan sendiri. Untuk mendirikan kekuasaan mereka dengan lebih kukuh lagi, mereka memberikan rasuah kepada nabi-nabi palsu untuk mengumumkan bahwa orang ramai harus menunggu penyelamatan dari Tuhan, meskipun tentera-tentera Roma sucah mengepung bait suci itu. Akhirnya, orang ramai berpegang pada kepercayaan bahawa Yang Maha Tinggi akan campur tangan untuk mengalahkan musuh-musuh mereka. Tetapi Israel telah menolak perlindungan ilahi, dan sekarang ia tidak mempunyai pertahanan. Malang sekali Yerusalem! Dicarik-carik oleh perselisihan faham di dalam negeri sendiri, darah anak-anak Israel yang dibunuh oleh tangan-tangan orang lain mewarnakan darah pada jalanan-jalanan, sementara tentera-tentera asing menghancurkan kubu-kubu pertahanan dan membunuh pahlawan-pahlawan perang Yerusalem!

Semua ramalan yang diberikan oleh Kristus mengenai kemusnahan Yerusalem telah digenapi dengan tepat. Orang-orang Yahudi mengalami kebenaran mengenai kata-kata amaran-Nya. "Ukuran yang kamu gunakan untuk mengukur akan digunakan terhadapmu." Matius 7:2.

Tanda-tanda dan keajaiban muncul, membayangkan bencana dan malapetaka. Pada tengah malam, satu sinaran terang yan luar biasa menerangi bait suci dan mezbah itu. Pada awan-awan matahari terbenam telah terlukis kereta-kereta perang dan bala tentera sedang siap untuk berperang. Imam-imam yang menjaga pada waktu malam di bait suci telah ditakutkan oleh suara-suara tangisan ramai, "Marilah kita berangkat dari sini." Pintu gerbang kota besar sebelah timur, yang amat berat sehingga ia amat sukar untuk ditutup oleh dua puluh orang, yang dikukuhkan dengan batang-batang besi yang besar yang dirantaikan jauh di dalam turapan pepejal batu, terbuka pada tengah malam, tanpa kelihatan ada yang membukanya. -- Milman, The History of the Jews, buku 13.

Selama tujuh tahun seorang lelaki berterusan naik dan turun melalui jalanan-jalanan Yerusalem, memberitakan malapetaka yang akan menimpa ke atas kota itu. Sepanjang siang dan malam dia meraungkan ratapan kesedihan, "Satu suara dari timur! Satu suara dari barat! Satu suara dari keempat penjuru mata angin! Satu suara menentang Yerusalem dan menentang bait suci! Satu suara menentang para pengantin lelaki dan para pengantin perempuan! Satu suara menentang semua orang!" -- Ibid. Orang yang pelik ini dipenjarakan dan disebat, tetapi tidak ada rungutan yang keluar dari bibirnya. Kepada penghinaan dan penderaan dia hanya menjawab, "Malapetaka, malapetaka kepada Yerusalem!" "Malapetaka, malapetaka kepada penduduknya!" Seruan amarannya tidak berhenti sehinggalah dia dibunuh di dalam pengepungan yang telah dia ramalkan.

Tidak seorang Kristian pun yang binasa pada waktu Yerusalem dimusnahkan. Kristus telah memberikan amaran kepada murid-murid-Nya, dan semua orang yang percaya kepada firman-Nya, memerhatikan tanda-tanda yang telah dijanjikan. "Apabila kamu melihat kota Yerusalem terkepung oleh tentera-tentera," kata Yesus, "ketahuilah kamu bahawa kebinasaannya telah hampir. Pada masa itu mereka yang berada di jajahan Yudea hendaklah melarikan diri ke gunung; mereka yang ada di dalam kota hendaklah meninggalkannya dan mereka yang ada di luar kota janganlah masuk ke kota itu." Lukas 21:20, 21. Setelah tentera Roma di bawah pimpinan Cestius mengepung kota itu, tanpa disangka mereka meninggalkan kepungan itu apabila semuanya kelihatan telah bersiap sedia untuk mengadakan serangan langsung. Kota yang dikepung, tidak mempunyai harapan untuk bertahan itu, telah berada pada saat untuk menyerah kalah, apabila jeneral Rom mengundurkan angkatannya tanpa alasan yang jelas. Tetapi ketentuan Tuhan yang penuh belas kasihan mengendalikan peristiwa itu demi kebaikan umat-Nya sendiri. Tanda yang dijanjikan telah diberikan kepada orang-orang Kristian yang sedang menunggu, dan sekarang satu peluang diberikan kepada semua orang yang mahu menuruti amaran Juruselamat. Peristiwa-peristiwa tersebut dikendalikan oleh Tuhan sehingga baik orang Yahudi mahupun orang Rom tidak akan menghalang orang Kristian untuk melarikan diri. Pada waktu angkatan Cestius berundur, orang Yahudi melakukan serangan hendap dari Yerusalem dan mengejar tenteranya yang berundur pergi. Dan apabila kedua-dua pihak sedang bertempur, orang-orang Kristian berpeluang untik meninggalkan kota itu. Pada waktu ini kota itu juga telah bebas daripada musuh-musuh yang mungkin berusaha untuk memintas mereka. Pada waktu pengepungan itu, orang-orang Yahudi berkumpul di Yerusalem untuk merayakan Perayaan Pondok Daun, dengan itu orang-orang Kristian dari seluruh negeri boleh melarikan diri tanpa gangguan. Tanpa melengahkan masa mereka melarikan diri ke satu tempat yang selamat -- kota Pella, di tanah Perea di seberang Sungai Yordan.

Kumpulan orang Yahudi yang mengejar Cestius dan tenteranya, mengakhiri perjuangan mereka dengan kekejaman untuk mengancam mereka dengan kemusnahan sepenuhnya. Dengan sukar sekali tentera Rom berhasil untuk mengundurkan diri. Orang Yahudi mendapatkan kebebasan hampir tanpa kematian, dan dengan barang-barang rampasan, mereka kembali ke Yerusalem dengan kemenangan. Namun kejayaan yang nyata ini hanya membawakan kejahatan kepada mereka. Ia mendorong mereka berjiwa untuk menentang orang Rom dengan degil, yang mana mempercepatkan malapetaka yang tidak terkata agar berlaku ke atas kota Yerusalem yang binasa itu.

Pelbagai musibah yang mengerikan menimpa ke atas Yerusalem pada waktu pengepungan diulangi oleh Titus. Kota itu diserang pada waktu perayaan Paskah, apabila berjuta-juta orang Yahudi berkumpul di dalam kota tersebut. Gudang-gudang bekalan makanan mereka, yang mana jika dipelihara dengan baik dapat membekalkan makanan kepada penduduk untuk bertahun-tahun lamanya, sebelumnya telah dimusnahkan kerana iri hati dan dendam oleh kelompok-kelompok yang bersaing, dan sekarang segala kelaparan yang mengerikan telah dialami. Satu sukatan gandum dijual dengan harga satu talenta. Begitu teruknya penderitaan akibat kelaparan itu sehingga manusia menggigit kulit tali pinggang, selipar dan perisai pelindung mereka. Ramai orang curi-curi keluar pada waktu malam untuk mengambil tanaman-tanaman liar yang tumbuh di luar dinding-dinding kota walaupun ramai yang ditangkap dan dibunuh dengan seksaan yang kejam, dan mereka yang kembali dengan selamat seringkali dirompak segala-galanya yang telah mereka kumpulkan dengan penuh bahaya. Penyeksaan yang paling tidak berperikemanusiaan dikenakan oleh mereka yang berkuasa, untuk merampas bekalan makanan terakhir yang sedikit dari orang yang kebuluran yang mungkin mereka sembunyikan. Dan kekejaman ini sering diamalkan oleh orang-orang yang cukup makan, dan orang-orang yang semata-mata berkeinginan untuk menyimpan makanan bagi peruntukan di masa akan datang.

Beribu-ribu orang binasa kerana kebuluran dan wabak. Perikemanusiaan seolah-olah telah dimusnahkan. Para suami merompak isteri mereka dan juga sebaliknya. Kelihatan anak-anak merampas makanan daripada mulut ibu bapa mereka yang sudah lanjut usia. Tanya nabi, "Dapatkah seorang perempuan melupakan anak yang disusuinya?" Jawapannya boleh didapati di dalam linkungan dinding-dinding kota yang binasa: "Tangan kaum wanita yang penyayang merebus anak-anak sendiri untuk menjadi makanan mereka pada masa kehancuran puteri bangsaku." Yesaya 49:15; Ratapan 4:10. Sekali lagi amaran nubuat yang diberikan empat belas agad yang lalu telah digenapi: "Demikian pula perempuan yang paling lembut dan halus antaramu, yang tidak pernah mencuba menjejakkan telapak kakinya ke tanah kerana kehalusan dan kelembutannya. Dia tidak akan mengasihani suaminya dan anaknya baik lelaki mahupun perempuan kerana dia bermaksud memakan bayi yang baru dilahirkannya beserta urinya secara sembunyi-sembunyi. Hal itu dilakukannya kerana dia kekurangan segala sesuatu selama musuh mengepung kamu di kota-kotamu." Ulangan 28:56, 57.

Para pemimpin Rom berusaha menimbulkan kegentaran kepada orang-orang Yahudi, dan dengan demikian menyebabkan mereka menyerah. Para tawanan yang melawan apabila dibawa, akan disebat, diseksa, dan disalibkan di hadapan dinding kota itu. Setiap hari ratusan orang dibunuh dengan cara ini, dan perbuatan ngeri ini berterusan sehingga sepanjang Lembah Yehosafat dan Kalvari, salib-salib didirikan dengan begitu banyak sekali sehingga tinggal sedikit sahaja ruang di antara mereka untuk begerak. Sungguh ngeri sekali kutukan dahsyat yang diucapkan di hadapan kerusi pengadilan Pilatus: "Biarlah darah-Nya tertanggung di atas kami dan zuriat kami" Matius 27:25.

Titus dengan rela hati mahu mengakhiri keadaan yang mengerikan ini, dan dengan demikian mengelakkan Yerusalem daripada kebinasaan penuhnya. Dia dipenuhi dengan perasaan ngeri ketika dia melihat timbunan-timbunan mayat berbaring di lembah-lembah. Seperti seseorang yagn terpesona, dia melihat bait suci yang tersergam indah itu dari puncak Bukit Zaitun dan memberikan perintah agar tidak satu pun batunya boleh disentuh. Sebelum cuba untuk mengambil alih kubu pertahanan ini, dia membuat rayuan kepada para pemimpin Yahudi dengan bersungguh-sungguh agar tidak memaksanya untuk mencemarkan tempat kudus itu dengan darah. Jika mereka datang dan berjuang di mana sahaja, tidak ada orang Rom yang akan melanggar kesucian bait suci itu. Yosephus sendiri, dengan satu rayuan yang penuh makna, memohon agar mereka menyerah,untuk menyelamatkan diri mereka sendiri, kota mereka, dan tempat mereka bersembahyang. Tetapi kata-katanya ini telah dijawab dengan sumpahan-sumpahan yang pahit. Lembing-lembing dilemparkan kepadanya, sebagai seorang pengantara manusia yang terakhir, semasa dia berdiri mengundang kepada mereka. Orang-orang Yahudi telah menolak rayuan-rayuan Anak Tuhan, dan sekarang bantahan dan rayuan hanya membuatkan mereka lebih tekad untuk menentang sehingga ke akhirnya. Sia-sialah usaha-usaha Titus untuk menyelamatkan bait suci itu; Seorang yang lebih besar daripada dia telah menyatakan bahwa tidak satu pun batunya akan tinggal di atas batu yang lain.

Kedegilan para pemimpin Yahudi yang buta dan jenayah-jenayah keji yang dilakukan di dalam kawasan kota yang dikepung itu, menimbulkan kengerian dan kemarahan orang-orang Rom, dan akhirnya Titus memutuskan untuk menyerang bait suci itu. Dia berazam, walaubagaimanapun, jika boleh bait suci itu diselamatkan daripada kemusnahan. Tetapi perintahnya tidak diendahkan. Semasa dia berehat di khemahnya pada waktu malam, orang-orang Yahudi melakukan serangan hendap dari bait suci itu, menyerang tentera-tentera Rom di luar. Dalam pertempuran itu, satu obor berapi dilemparkan oleh seorang tentera melalui satu lubang di anjung, dan dengan segera bilik-bilik yang dilapisi dengan kayu araz yang berdekatan dengan tempat kudus itu berada dalam kebakaran. Titus bergegas ke tempat itu, diikuti dengan para jeneral dan tenteranya, dan memerintahkan tentera-tentera untuk memadamkan api itu. Namun perintahnya tidak dihiraukan. Dalam kemarahan, tentera-tentera itu melontarkan obor-obor yang berapi ke bilik-bilik yang bersebelahan dengan bait suci itu, dan kemudian dengan pedang-pedang mereka, mereka membantai ramai sekali orang-orang yang bersembunyi di situ. Darah mengalir di tangga-tangga bait suci itu bagaikan air. Beribu-ribu orang Yahudi binasa. Selain daripada suara peperangan, terdengar suara-suara teriakan, "Ikabod!" -- kemuliaan telah pergi.

Titus mengetahui bahawa ia adalah tidak mungkin untuk menghentikan kemarahan tenteranya. Dia masuk bersama-sama dengan pegawai-pegawainya dan meninjau bahagian dalam bangunan yang kudus itu. Kemegahannya mengagumkan mereka, dan sementara nyala api belum lagi menembusi ke tempat kudus itu, dia membuat usaha yang terakhir untuk menyelamatkannya, dan dia bergegas maju ke hadapan, sekali lagi mendesak para tenteranya untuk menghentikan kebakaran besar yang sedang mara itu. Perwira Liberalis diusahakan untuk mewajibkan ketaatan kepada pegawai atasannya; tetapi bahkan rasa hormat kepada maharaja telah hilang disebabkan kebencian yang membara terhadap orang-orang Yahudi, sehinggalah kebengisan yang timbul dalam pertempuran, dan harapan yang tidak pernah puas dalam melakukan rampasan. Tentera-tentera melihat segala yang ada di sekeliling mereka adalah emas yang berkilau, yang bersinar dengan terpesona sekali dalam cahaya api yang membara; mereka berandaian bahawa harta-harta yang tidak terkira diletakkan di dalam bait suci itu. Tanpa disedari, seorang tentera mendekatkan satu obor yang menyala ke antara engsel pintu: dalam sekelip mata seluruh bangunan telah berada dalam kebakaran. Api dan asap yang membutakan mata memaksa para pegawai untuk berundur diri, dan bangunan agung itu pun dibiarkan menemui nasibnya.

Ia adalah satu gambaran yang mengerikan bagi orang Rom -- bagaimana pula bagi orang Yahudi? Seluruh puncak bukit yang menakluki kota itu, terbakar bagaikan gunung berapi. Satu demi satu bangunan-bangunan itu runtuh dengan satu dentuman yang hebat, dan ditelan ke dalam jurang yang berapi-api. Atap-atap kayu araz bagaikan kepingan api; puncak-puncak bangunan yang disepuh bersinar bagaikan pancang-pancang cahaya merah; menara-menara pintu gerbang terbakar dengan tiang-tiang nyala api dan asap yang menaik tinggi. Bukit-bukit di sekitar menjadi terang; dan orang yang berada dalam gelap memperhatikan proses kemusnahan bait suci dengan keresahan yang teruk sekali: dinding-dinding dan puncak-puncak kota di kawasan atas penuh dengan wajah manusia, sebahagian puca kerana keperitan dalam keputus-asaan, selebihnya menunjukkan muka marah yang penuh dendam namun sia-sia. Teriakan-teriakan tentera Rom apabila mereka berlari ke sana ke mari, dan lolongan-lolongan para pemberontak yang binasa dalam nyala api, bercampur dengan ngauman api besar dan suara gemuruh kayu-kayu balak yang jatuh. Gema dari gunung-gunung menjawab atau memantulkan kembali jeritan orang-orang yang berada di tempat-tempat tinggi; di sepanjang dinding-dinding bergema teriakan dan ratapan orang ramai; orang-orang yang nyaris mati kerana kelaparan berhimpun menggunakan baki tenaga mereka untuk menyuarakan satu tangisan keperitan dan kesengsaraan.

"Pembantaian di dalam bahkan lebih mengerikan daripada apa yang kelihatan dari luar. Para lelaki dan perempuan, tua dan muda, para pemberontak atau imam-imam, mereka yang berperang dan mereka yang memohon belas kasihan, telah dicincang dalam pembunuhan beramai-ramai secara rambang. Jumlah yang terbunuh jauh melebihi jumlah pembunuh. Para tentera perlu melompati timbunan-timbunan mayat untuk meneruskan tugas penghapusan itu." -- Milman, The History of the Jews, buku 16.

Setelah kemusnahan bait suci, seluruh kota itu jatuh ke tangan orang-orang Rom. Para pemimpin Yahudi meninggalkan menara-menara yang tidak dapat dikalahkan itu, dan Titus mendapati mereka bersendirian. Dia menatap mereka dengan perasaan kagum, dan menyatakan bahwa Tuhan telah menyerahkan mereka ke dalam tangannya; kerana tidak ada peralatan, walaupun kuat, boleh mengalahkan bentang-benteng yang luar biasa itu. Kedua-dua kota dan bait suci dihancurkan sehingga ke tapak bangunannya, dan tanah tempat berdirinya bangunan suci itu telah "dibajak seperti ladang." Yeremia 26:18. Dalam pengepungan dan pembantaian berikaunya, lebih daripada satu juta orang binasa, manakala orang-orang yang masih hidup dibawa sebagai tawanan, dijual sebagai hamba, diheret ke Roma untuk menunjukkan kemuliaan atas kemenangan penakluk, dibuang ke dalam perani-perani yang mempunyai binatang buas, atau bertemiaran sebagai para pengembara yang tidak berumah di seluruh bumi.

Orang-orang Yahudi telah memalsukan belenggu-belenggu mereka sendiri; mereka telah mengisi cawan pembalasan untuk diri mereka sendiri. Dalam keruntuhan sepenuhnya yang menimpa ke atas mereka sebagai satu bangsa, dan dalam semua malapetaka yang mengikuti mereka apabila mereka bertempiaran, mereka hanya menuai apa yang telah mereka tanam dengan tangan mereka sendiri. Nabi berkata, "Memang ini pembinasaan engkau, wahai Israel," "kerana engkau telah tersandung akibat kesalahanmu." Hosea 13:9; 14:1. Penderitaan-penderitaan mereka sering dilambangkan sebagai satu hukuman yang diberikan kepada mereka melalui dekri secara langsung dari Tuhan. Dengan demikian penipu besar itu cuba untuk menyembunyikan pekerjaannya sendiri. Melalui penolakan yang degil mengenai kasih dan kemurahan ilahi, orang-orang Yahudi telah menyebabkan perlindungan Tuhan ditarik daripada mereka, dan Syaitan telah diizinkan untuk memerintah mereka sesuai dengan kehendaknya. Pelbagai kekejaman hebat yang diamalkan selama kemusnahan Yerusalem adalah satu pertunjukan kuasa balas dendam Syaitan ke atas mereka yang menyerah kepada pengawalannya.

Kita tidak tahu berapa banyak kita berhutang kepada Kristus untuk kedamaian dan perlindungan yang kita nikmati. Kuasa penghalang Tuhanlah yang mengelakkan manusia jatuh sepenuhnya di bawah pengawalan Syaitan. Orang-orang yang tidak menurut dan yang tidak berterima kasih mempunyai alasan yang kuat untuk bersyukur ke atas kemurahan dan panjang sabar Tuhan dalam berkuasa untuk menahan kuasa yang kejam dan teruk dari sijahat. Tetapi apabila manusia melampaui batas-batas kesabaran ilahi, penahanan itu akan diambil. Tuhan tidak akan berdiri di hadapan orang berdosa sebagai pelaksana hukuman terhadap pelanggaran hukum, tetapi Dia membiarkan orang-orang yang menolak belas kasihan-Nya kepada diri mererka sendiri, untuk menuai apa yang telah mereka tanam. Setiap sinaran terang yang ditolak, setiap amaran yang dihina atau diendahkan, setiap nafsu yang dimanjakan, setiap pelanggaran mengenai hukum Tuhan, adalah satu benih yang ditanam yang mana akan menghasilkan tuaian yang tidak pernah gagal. Roh Tuhan yang ditolak secara berterusan, akhirnya akan ditarik daripada orang berdosa itu, dan kemudian tidak ada lagi kuasa untuk mengawal nafsu-nafsu jahat dalam jiwa, dan tidak ada lagi perlindungan daripada niat jahat dan permusuhan Syaitan. Kemusnahan Yerusalem adalah satu amaran yang menakutkan dan khusyuk kepada semua orang yang meremehkan pemberian rahmat ilahi dan yang menolak undangan-undangan kemurahan ilahi itu. Tidak akan lagi diberikan kesaksian yang lebih tegas mengenai kebencian Tuhan mengenai dosa dan mengenai hukuman tertentu yang akan dijatuhkan ke atas orang yang bersalah.

Nubuat Juruselamat berkenaan dengan pelaksanaan penghakiman ke atas Yerusalem akan ada lagi penggenapan yang lain, yang mana kehancuran yang dahsyat hanya merupakan satu bayangan yang samar. Dalam nasib kota pilihan itu kita boleh melihat kebinasaan satu dunia yang telah menolak belas kasihan Tuhan dan memijak-mijak hukum-Nya. Begitu gelapnya catatan-catatan penderitaan umat manusia yang pernah disaksikan oleh dunia selama kejahatannya yang berabad-abad. Hati menjadi sakit, dan fikiran menjadi lemah dalam merenungkan hal ini. Sungguh mengerikan kesan-kesan daripada penolakan kewibawaan Syurga. Tetapi satu gambaran yang lebih gelap lagi akan dinyatakan dalam Nubuat masa yang akan datang. Catatan-catatan masa lalu -- urutan panjang mengenai kekacauan, pertikaian, dan revolusi, "sepatu tentera ... berderap-derap dan setiap jubah yang berlumuran darah," (Yesaya 9:4), -- semua ini tidak bermakna bila dibandingkan dengan pelbagai kegentaran pada hari itu apabila Roh Tuhan yang melindungi akan sepenuhnya ditarik daripada orang jahat, tidak lagi mengelak ledakan nafsu manusia dan murka syaitan! Dunia kemudian akan melihat kesan-kesan daripada pemerintahan Syaitan seperti yang belum pernah dilihatnya.

Tetapi pada hari itu, seperti pada waktu kebinasaan Yerusalem, umat-umat Tuhan akan diselamatkan, iaitu setiap orang yang mendapati namanya tercatat untuk memperoleh hidup. Yesaya 4:3. Kristus telah menyatakan bahawa Dia akan datang kedua kali untuk mengumpulkan umat-Nya yang setia kepada-Nya: "Tanda Anak Manusia kan kelihatan di langit. Semua suku bangsa di bumi akan menangis melihat Anak Manusia dalam awan dengan kekuasaan dan kemuliaan yang besar. Sangkakala akan dibunyikan dengan kuatnya, dan Anak Manusia akan menghantar malaikat-malaikat-Nya dan menghimunkan umat pilihan-Nya dari empat mata angin, dari satu hujung langit ke hujung yang lain." Matius 24:30, 31. Kemudian, mereka yang tidak menuriti injil akan dibuhuh oleh nafas mulut-Nya, dan dimusnahkan dengan sinar terang kedatangan-Nya. 2 Tesalonika 2:8. Seperti bangsa Israel yang dahulu, orang jahat memusnahkan diri mereka sendiri, dan mereka jatuh kerana kejahatan mereka. Dengan kehidupan yang berdosa, mereka telah meletakkan diri mereka sendiri tidak selaras dengan Tuhan, sifat mereka telah menjadi begitu rendah disebabkan oleh kejahatan, sehingga pernyataan mengenai kemuliaan Tuhan adalah satu api yang memusnahkan bagi mereka.

Biarlah manusia berhati-hati agar mereka tidak mengabaikan pelajaran yang disampaikan kepada mereka di dialam firman Kristus. Seperti mana Dia memberikan amaran kepada murid-murid-Nya mengenai kemusnahan Yerusalem, memberikan mereka satu tanda mengenai kehancuran yang hampir tiba agar mereka dapat menyelamatkan diri mereka, demikianlah Dia telah memberikan amaran kepada dunia mengenai hari kebinasaan terakhir dan telah memberikan mereka tanda-tandanya yang hampir tiba, agar mereka yang mahu, boleh melarikan diri dari murka yang akan datang itu. Yesus menyatakan: "Alamat akan kelihatan pada matahari, bulan dan bintang-bintang. Di muka bumi ini semua bangsa kelak sengsara dan bingung akan deru serta gelora lautan." Lukas 21:25; Matius 24:29; Markus 13:24-26; Wahyu 6:12-17. Mereka yang memerhatikan petanda-petanda mengenai kedatangan-Nya ini akan "ketahuilah kamu bahawa waktuny hampir tiba, sudah di ambang pintu." Matius 24:33. "Oleh itu, berjaga-jagalah," adalah kata-kata teguran-Nya. Markus 13:35. Mereka yang mengendahkan amaran itu tidak akan ditinggalkan dalam kegelapan, sehingga hari itu menimpa mereka tanpa disedari. Tetapi bagi mereka yang tidak berjaga-jaga, "hari kedatangan Tuhan akan tiba seperti datangnya pencuri pada malam hari." 1 Tesalonika 5:2-5.

Dunia ini tidak lebih bersedia untuk mengakui perkhabaran pada zaman ini daripada orang-orang Yahudi untuk menerima amaran Juruselamat berkenaan dengan Yerusalem. Tidak kira apa pun yang berlaku, hari Tuhan akan datang tanpa disedari oleh orang-orang yang tidak beriman. Apabila kehidupan berjalan secara berterusan tanpa henti-henti, apabila manusia diserap dalam keseronokan, dalam perniagaan, dalam urusan, dalan menjana wang, apabila ketua-ketua agama memperbesar-besarkan kemajuan dan pengetahuan dunia, dan manusia dibuaikan dengan keselamatan yang salah -- kemudian, seperti pencuri di tengah malam mencuri di kawasan yang tidak dijaga, demikianlah kemusnahan yang akan datang secara tiba-tiba ke atas orang-orang yang lalai dan tak beriman, "tiada siapa pun dapat melepaskan diri." Ayat 3.