Kontroversi Terbesar 00 - Pendahuluan

 

Sebelum dosa masuk ke dunia ini, Adam menikmati satu persekutuan terbuka dengan Penciptanya. Tetapi sejak manusia memisahkan dirinya dari Tuhan kerana pelanggaran, umat manusia telah kehilangan keistimewaan agung ini. Namun, melalui rencana penebusan, satu jalan telah dibuka kepada para penghuni bumi dengan demikian mereka masih mempunyai hubungan dengan syurga. Tuhan telah berkomunikasi dengan manusia melalui Roh Kudus-Nya dan terang ilahi telah diberikan kepada dunia ini melalui wahyu kepada hamba-hamba pilihan-Nya. "Disuarakan oleh orang ketika digerakkan oleh Roh Kudus untuk menyampaikan kata-kata daripada Allah." 2 Petrus 1:21.

Selama dua ribu lima ratus tahun yang pertama dalam sejarah manusia, tidak ada wahyu yang bertulis. Mereka yang telah dibimbing oleh Tuhan menyampaikan pengetahuan mereka kepada orang lain dan ia diturunkan dari ayah kepada anak melalui generasi turun-temurun. Penyediaan firman yang bertulis dimulakan pada zaman Musa. Wahyu-wahyu yang diilhamkan kemudian dikumpulkan dalam satu buku. Pekerjaan ini berterusan selama seribu enam ratus tahun lamanya -- dari Musa, seorang ahli sejarah penciptaan dan hukum, sehinggalah Yohanes, seorang pencatat kebenaran-kebenaran injil paling agung.

Alkitab menunjukkan Tuhan sebagai pengarangnya; namun ia ditulis oleh tangan-tangan manusia; dalam pelbagai gaya penulisan buku-bukunya, ia menyatakan ciri-ciri beberapa penulisnya. Kebenaran-kebenaran yang dinyatakan semuanya "diilhamkan oleh Allah" (2 Timotius 3:16); namun ia diungkapkan dalam bahasa-bahasa manusia. Tuhan Yang Tidak Terhingga telah memancarkan terang ke dalam fikiran dan hati hamba-hamba-Nya melalui Roh Kudus-Nya. Dia telah memberikan pelbagai mimpi dan penglihatan, pelbagai lambang dan bilangan; dan mereka yang terdedah kepada kebenaran itu telah mengumpulkan fikiran-fikiran tersebut dalam bahasa manusia.

Sepuluh hukum itu telah diucapkan oleh Tuhan sendiri dan telah dituliskan oleh tangan-Nya sendiri. Sepuluh hukum itu adalah tulisan ilahi dan bukan karangan manusia. Tetapi Alkitab, dengan kebenaran yang diberikan Tuhan yang disampaikan dalam bahasa manusia, menunjukkan satu kesatuan mengenai ilahi dan manusia. Kesatuan seperti itu wujud dalam sifat Kristus, iaitu Anak Tuhan dan Manusia. Oleh itu, ianya benar mengenai Alkitab, seperti mengenai Kristus, bahawa, "Firman itu menjadi manusia dan hidup dalam kalangan kita." Yohanes 1:14.

Ditulis pada zaman yang berlainan, oleh orang-orang yang pelbagai status, pangkat, pekerjaan, kebolehan mental dan rohani. Buku-buku dalam Alkitab dinyatakan dalam satu gaya penulisan yang berbeza-beza dalam satu kepelbagaian sifat mengenai subjek-subjek yang didedahkan. Pelbagai bentuk ungkapan telah digunakan oleh pelbagai penulis; seringkali kebenaran yang sama dinyakan dengan lebih menonjol oleh seorang penulis berbanding dengan penulis yang lain. Sementara beberapa penulis menyatakan satu subjek di bawah pelbagai aspek dan hubungan, pembaca yang dangkal, cuai atau prejudis akan melihatnya bercanggah atau bertentangan, namum pembaca atau pelajar yang teliti dan rendah hati dapat melihat dengan lebih jelas, dan menilai keharmoniannya yang tersembunyi.

Seperti mana yang dinyatakan melalui pelbagai individu, kebenaran itu disajikan dalam aspeknya yang pelbagai. Seorang penulis akan lebih menekankan satu fasa mengenai subjek tersebut; dia memahamai perkara-perkara yang harmoni dengan pengalamannya atau dengan daya persepsi dan penghargaannya; manakala yang lain menangkap fasa yang lain; dan setiap orang, di bawah bimbingan Roh Kudus, menyatakan apa yang amat memberikan kesan kepada mindanya sendiri -- satu aspek kebenaran yang berbeza bagi setiap orang, tetapi satu keharmonian yang sempurna kepada semua orang. Kebenaran yang telah didedahkan bersatu untuk membentuk satu gabungan yang sempurna, disesuaikan untuk memenuhi keinginan manusia dalam segala keadaan dan pengalaman dalam kehidupan.

Tuhan amat senang untuk menyampaikan kebenaran-Nya kepada dunia melalui wakil-wakil manusia, dan Dia Sendiri, melalui Roh Kudus-Nya, melayakkan manusia dan membolehkan mereka melakukan tugas ini. Dia membimbing fikiran dalam memilih apa yang harus diucapkan dan harus dituliskan. Harta tersebut diamanahkan kepada hamba-hamba Tuhan, walaubagaimanapun, ia tetap dari Syurga. Kesaksian tersebut disampaikan melalui ungkapan bahasa manusia yang tidak sempurna, namun ia adalah kesaksian Tuhan; dan anak Tuhan yang patuh dan percaya dapat melihat di dalamnya kemuliaan mengenai satu kuasa ilahi, penuh rahmat dan kebenaran.

Dalam firman-Nya, Tuhan telah memberikan manusia pengetahuan yang perlu untuk keselamatan. Kitab Suci harus diterima sebagai satu wahyu yang berkuasa dan mutlak mengenai kehendak Tuhan. Ia adalah piawaian dalam sifat perwatakan, pengungkapan mengenai doktrin-doktrin, dan ujian dalam pengalaman. "Seluruh Kitab Suci diilhamkan oleh Allah, dan berguna untuk mengajar, menegur, membetulkan dan mendidik ke arah kebenaran. Dengan demikian, tiap-tiap orang yang mengabdikan diri kepada Allah akan dilengkapi sepenuhnya untuk melakukan segala kerja yang baik." 2 Timotius 3:16, 17.

Walaupun Tuhan telah mendedahkan kehendak-Nya kepada manusia melalui firman-Nya, namun kehadiran dan bimbingan Roh Kudus yang berterusan tetap diperlukan. Sebaliknya, Roh itu ttelah dijanjikan oleh Juruselamat kita, untuk membukakan firman itu kepada hamba-hamba-Nya, dan untuk menyinarkan dan menerapkan ajaran-ajaran-Nya. Dan kerana Roh Tuhanlah yang mengilhamkan Alkitab, maka tidak mungkin ajaran Roh bertentangan dengan firman itu.

Roh tidak diberikan -- atau ia tidak pernah dikurniakan -- untuk menggantikan Alkitab kerana Alkitab dengan jelas mengatakan bahwa firman Tuhan adalah piawai dalam menguji semua ajaran dan pengalaman. Rasul Yohanes berkata, "Jangan percayai setiap roh. Sebaliknya ujilah setiap roh itu sama ada datang daripada Allah kerana terdapat ramai nabi palsu telah menjelajah ke seluruh dunia." 1 Yohanes 4:1. Dan Yesaya menyatakan, "Carilah hukum Taurat dan peringatan Ilahi! Jika mereka tidak berbicara selara dengan perkataan ini, maka bagi mereka tidak ada cahaya fajar." Yesaya 8:20.

Celaan yang besar telah dilemparkan ke atas pekerjaan Roh Kudus oleh satu golongan yang salah bahawa, dengan mengakui mereka mendapat terang dari Tuhan, menyatakan bahawa bimbingan dari firman Tuhan sudah tidak diperlukan. Mereka dikuasai oleh tanggapan-tanggapan yang mana mereka menganggapnya sebagai suara Tuhan di dalam jiwa mereka. Tetapi roh yang mengawal mereka bukanlah Roh Tuhan. Dengan mengikuti tanggapan seperti ini, yang mengabaikan Kitab Suci, hanya membawa kepada kekeliruan, penipuan dan kehancuran. Ia digunakan hanya untuk melanjutkan rancangan-rancangan si jahat. Kerana pelayanan Roh Kudus adalah amat penting kepada jemaat Kristus, maka ia adalah salah satu alat Syaitan, melalui kesalahan-kesalahan orang-orang yang keterlaluan dan fanatik, untuk memberikan penghinaan ke atas pekerjaan Roh dan menyebabkan umat Tuhan mengabaikan sumber kekuatan yang telah disediakan oleh Tuhan Sendiri.

Selari dengan firman Tuhan, Roh-Nya akan meneruskan pekerjaan-Nya sepanjang tempoh perkhabaran injil. Pada zaman Perjanjian Lama dan Baru dalam Alkitab telah diberikan, Roh Kudus tidak berhenti untuk memberikan terang kepada fikiran-fikiran individu, selain daripada wahyu-wahyu yang dikumpulkan dalam Kanun Suci. Alkitab sendiri mengaitkan bagaimana, melalui Roh Kudus, manusia dengan pemberian Kitab Suci itu. Dan ada disebutkan para nabi dari pelbagai zaman, selepas penutupan kanun Kitab Suci, Roh Kudus masih meneruskan pekerjaannya untuk menerangi, memberikan amaran dan memberikan penghiburan kepada anak-anak Tuhan.

Yesus berjanji kepada murid-murid-Nya, "Penolong, iaitu Roh Kudus yang akan diutus Allah dalam nama-Ku, akan mengajarmu segala-galanya dan mengingatkanmu tentang apa yang telah Kukatakan kepadamu." "Apabila Dia, iaitu Roh kebenaran datang, Dia akan membimbingmu ke arah segala kebenaran; ... Dia akan menyampaikan apa yang didengar-Nya dan memberitahumu apa yang akan terjadi." Yohanes 14:26; 16:13. Kitab Suci dengan jelas mengajarkan bahawa janji-janji ini tidak hanya terbatas pada zaman rasul-rasul, tetapi berlanjutan sehingga jemaat Kristus pada sepanjang zaman. Juruselamat meyakinkan pengikut-pengikut-Nya, "Aku akan sentiasa bersamu, hingga ke akhir zaman." Matius 28:20. Dan Paulus menyatakan bahawa pemberian-pemberian dan penyataan-penyataan Roh telah diberikan kepada jemaat "untuk menyediakan orang yang salih bagi kerja melayani, untuk meneguhkan tubuh Kristus. Dengan itu, kita semua mencapai kesatuan dalam iman dan pengetahuan akan Anak Allah, agar menjadi dewasa, dan memiliki pertumbuhan yang sesuai dengan kadar kesempurnaan Kristus." Efesus 4:12, 13.

Kepada orang-orang percaya di Efesus rasul itu berdoa, "semoga Allah Tuhan kita Yesus Kristus, iaitu Bapa kemuliaan, memberimu roh kebijaksanaan dan wahyu untuk mengenali-Nya. Semoga Allah menerangkan mata hatimu untuk mengetahui harapan daripada panggilan-Nya, ... dan betapa besar kuasa-Nya bagi kita yang beriman." Efesus 1:17-19. Ia adalah berkat yang dimohon oleh Paulus untuk jemaat Efesus mengenai pelayanan Roh ilahi dalam memberikan terang kepada pengetahuan dan dalam membukakan fikiran kepada perkara-perkara yang mendalam mengenai firman Tuhan yang kudus.

Setelah penyataan yang menakjubkan oleh Roh Kudus pada Hari Pentakosta, Petrus mendorong orang ramai kepada pertaubatan dan pembaptisan dalam nama Kristus untuk pengampunan dosa-dosa mereka, dan dia berkata, "Kamu akan menerima pemberian Roh Kudus; kerana janji itu telah dibuat kepada kamu dan anak-anakmu, dan kepada semua yang jauh-jauh, seberapa ramai yang akan dipanggil oleh Tuhan Allah kita." Kisah Para Rasul 2:38, 39.

Dalam hubungan segera dengan kejadian-kejadian mengenai hari besar Tuhan, Allah melalui nabi Yoel telah menjanjikan satu manifestasi khusus mengenai Roh-Nya. Yoel 2:28. Nubuat ini menerima penggenapan separa dalam pencurahan Roh pada Hari Pentakosta; tetapi ia akan mencapai penyataannya yang penuh dalam manifestasi mengenai rahmat ilahi yang mana akan menjalankan pekerjaan injil pada akhir zaman.

Kontroversi besar antara baik dengan jahat akan bertambah begitu banyak sehinggalah pada saat terakhir. Di seluruh zaman, kemarahan Syaitan telah dinyatakan terhadap jemaat Kristus; dan Tuhan telah mengurniakan rahmat dan Roh-Nya kepada umat-Nya untuk menguatkan mereka agar dapat berdiri melawan kuass si jahat itu. Apabila rasul-rasul Kristus membawa injil-Nya ke dunia dan mencatatnya untuk segala zaman yang akan datang, mereka telah dikurniakan terang Roh secara khusus. Tetapi apabila jemaat menghampiri penyelamatannya yang terakhir, Syaitan akan bekerja dengan kuasa yang lebih besar. Dia akan turun "dalam kedaan sangat berang, kerana ia tahu masanya sudah singkat." Wahyu 12:12. Dia akan bekerja, "dengan membawa kuasa, tanda dan keajaiban palsu." 2 Tesalonika 2:9. Selama enam ribu tahun, dalang ini, yang dahulu pernah menjadi malaikat tertinggi di antara malaikat-malaikat Tuhan, telah sepenuhnya berpaling kepada penipuan dan kehancuran. Dan semua kebolehan mengenai kemahiran dan kelicikan Syaitan yang diperolehi, dan segala kekejaman yang diperkembangkan sepanjang perjuangan berzaman-zaman ini, akan dibawa untuk menyeksa umat Tuhan pada pertikaian yang terakhir. Dan dalam masa yang sangat berbahaya ini, pengikut-pengikut Kristus harus membawa amaran mengenai kedatangan Tuhan yang kedua kali kepada dunia; dan satu golongan manusia yang "tidak bercela dan berdamai" harus bersedia untuk berdiri di hadapan-Nya. 2 Petrus 3:14. Pada masa ini penganugerahan khusus mengenai rahmat dan kuasa ilahi adalah sangat diperlukan oleh jemaat berbanding pada zaman rasul-rasul.

Melalui penerangan Roh Kudus, kejadian mengenai pertikaian yang berterusan dan berpanjangan di antara baik dengan jahat telah dibukakan kepada penulis buku ini. Dari semasa ke semasa saya telah diizinkan untuk melihat pekerjaannya, dalam zaman yang berbeza, mengenai kontroversi besar di antara Kristus, Putera Kehidupan, Pengarang keselamatan kita, dan Syaitan, putera kejahatan, pengarang dosa, pelanggar pertama hukum Tuhan yang kudus. Permusuhan Syaitan terhadap Kristus telah dinyatakan kepada pengikut-pengikut-Nya. Kebencian yang sama terhadap prinsip-prinsip hukum Tuhan, dasar penipuan yang sama, yang mana kesalahan dibuat agar kelihatan seperti kebenaran, yang mana hukum-hukum manusia telah menggantikan hukum Tuhan dan manusia dibimbing untuk menyembah makhluk-makhluk dan bukannya Pencipta, boleh dijejak dalam semua sejarah pada masa lalu. Usaha-usaha Syaitan untuk memberikan gambaran yang salah mengenai sifat perwatakan Tuhan menyebabkan menaruh satu konsep yang salah mengenai Pencipta, dan justeru mengenal-Nya dengan perasaan takut dan benci dan bukannya kasih; usaha-usahanya untuk mengetepikan hukum Ilahi, membimbing manusia untuk berfikir bahawa mereka telah bebas dari syarat-syarat hukum itu; dan penganiayaannya kepada mereka yang berani untuk menentang penipuannya, sudah sering terjadi pada seluruh zaman. Mereka boleh dijejak dalam sejarah para patriark, para nabi dan para rasul, serta pada martir dan para reformasi.

Dalam pertikaian besar yang terakhir, Syaitan akan menggunakan dasar yang sama, menyatakan roh yang sama dan bekerja untuk tujuan yang sama seperti pada zaman sebelumnya. Apa yang telah terjadi, akan terjadi lagi, kecuali perjuangan yang akan datang ini akan ditandakan dengan satu keterlaluan yang mengerikan, yang mana belum pernah disaksikan oleh dunia ini. Penipuan-penipuan Syaitan akan menjadi lebih licik dan serangan-serangannya akan menjadi lebih kuat. Sekiranya mungkin, dia akan menyesatkan orang-orang pilihan. Markus 13:22.

Ketika Roh Tuhan telah membukakan kebenaran-kebenaran agung mengenai firman-Nya kepada fikiran saya, serta kejadian-kejadian masa lalu dan masa yang akan datang, saya telah disuruh untuk memberitahukan orang lain mengenai apa yang telah didedahkan -- untuk menjekaki sejarah mengenai kontroversi pada zaman dahulu dan untuk menyatakannya secara khusus agar menyinarkan satu terang pada perjuangan yang hampir tiba di masa akan datang. Dalam mencapai tujuan ini, saya telah berusaha untuk memilih dan mengumpulkan peristiwa-peristiwa dalam sejarah gereja dengan cara sedemikian untuk menjejaki ujian besar kebenaran-kebenaran yang diungkapkan, yang mana telah diberikan kepada dunia pada waktu yang berlainan, yang telah membangkitkan kemarahan Syaitan, dan permusuhan gereja yang mengasihi dunia, dan yang telah dikekalkan oleh saksi-saksi yang "tidak menyayangi nyawa sendiri hingga mati."

Dalam catatan-catatan ini, kita dapat melihat satu bayangan mengenai konflik yang akan datang di hadapan kita. Dengan menganggapnya sebagai terang firman Tuhan dan dengan penerangan Roh-Nya, kita dapat melihat pendedahan mengenai muslihat-muslihat si jahat, dan bahaya-bahaya yang harus dihindari oleh mereka yang didapati "tidak bercela" di hadapan Tuhan pada waktu kedatangan-Nya.

Perisitwa-peristiwa besar yang telah menandakan kemajuan pembaharuan pada zaman yang lalu adalah bahan-bahan sejarah, diketahui ramai dan diakui secara universal oleh dunia Protestan; peristiwa-peristiwa ini adalah fakta yang mana tidak ada seorang pun yang boleh menafikannya. Sejarah ini telah saya tunjukkan secara ringkas sesuai dengan skop buku ini, serta ringkasan yang perlu diperhatikan dan fakta-fakta yang telah dipadatkan sependek mungkin, namun masih konsisten dengan satu pengetahuan yang betul dalam penerapannya. Dalam beberapa kes di mana ahli sejarah telah menumpulkan peristiwa-peristiwa semampu yang mungkin secara ringkas mengenai satu gambaran menyeluruh mengenai subjek atau telah meringkaskan butiran-butirannya dengan cara yang mudah difahami, maka kata-katanya telah dikutip; tetapi dalam hal-hal akreditasi yang kusus tidak diberikan kerana pengutipan tidak dilakukan dengan tujuan memetik penulis itu sebagai mutlak, tetapi kerana perkataannya memberikan satu penyampaian yang bersesuaian dan meyakinkan mengenai subjak tersebut. Dalam menceritakan pengalaman dan pandangan mereka yang meneruskan pekerjaan pembaharuan pada zaman kita, cara yang sama telah dilakukan dalam hasil-hasil terbitan mereka.

Matlamat buku ini bukanlah untuk menyatakan kebenaran-kebenaran yang baru mengenai perjuangan-perjuangan pada masa dahulu, yang mana membawakan fakta-fakta dan prinsip-prinsip yang memberikan penekanan atas peristiwa-peristiwa yang akan datang. Namun apabila dilihat sebagai sebahagian daripada kontroversi antara kuasa terang dengan kuasa kegelapan, maka semua catatan pada masa lampau akan kelihatan separti mempunyai maksud yang baharu; dan melalui catatan-catatan ini satu terang terpancar ke atas masa hadapan, menerangi jalan mereka, seperti mana para pembaharu pada zaman dahulu, akan dipanggil, meskipun akan mengancam semua keuntungan duniawi, untuk bersaksi bagi "Firman Allah dan kesaksian Yesus Kristus."

Tujuan buku ini adalah untuk mendedahkan kejadian-kejadian mengenai kontroversi besar antara kebenaran dengan kesalahan; untuk mendedahkan tipu muslihat Syaitan, dan cara-cara yang mana dia boleh ditentang dengan jayanya; untuk menyatakan satu penyelesaian yang memuaskan mengenai masalah besar kejahatan, menyinarkan terang ke atas permulaan dan pengakhiran pembawaan dosa, dengan menyatakan sepenuhnya keadilan dan kebaikan Tuhan dalam segala perlakuannya dengan makhluk-makhluk-Nya; dan untuk menunjukkan sifat hukum-Nya yang kudus dan tidak berubah. Dengan itu, ia adalah doa yang sungguh-sungguh bagi penulis buku ini, iaitu melalui pengaruh buku ini jiwa-jiwa boleh diselamatkan daripada kuasa kegelapan dan menjadi "pengikut sebahagian warisan orang yang salih dalam cahaya," kepada kemuliaan-Nya yang mengasihi kita, dan memberikan diri-Nya untuk kita. Inilah doa ikhlas dari penulis buku ini.

--E.G.W.